الحمد لله نحمده ونستعينه ونستهديه و نستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيا ت من أعمالنا من يهده الله فلا مضل له ومن يضلل فلا هادي له, أشهد أن لا اله الا الله وحده لا شريك له ,واشهد أن محمدا عبده ورسوله, اللهم صل وسلم وبا رك على محمد وعلى آله وصحبه أجمعين, أم بعد..
فيا عباد الله أوصيكم وايا ي بتقوى الله وطا عته فقد فا ز المتقون وتزودوا فان خير الزاد الت
قوى فاتقوا الله يا أولى ألألباب لعلكم تفلحون.
Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benar takwa iaitu dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala laranganNya. Dengan demikian, mudah-mudahan kita akan dikurniakan Allah kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Firman Allah S.W.T
Wahai orang-orang yang beriman! apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan. (al-Mujadalah : 11)
Sidang jumaat yang dimuliakan,
Berdasarkan ayat yang telah dibacakan tadi, jelas Allah S.W.T. telah memberikan kedudukan yang utama kepada orang-orang yang beriman dan berilmu di dalam kitab suci al-Qur’an. Islam bukanlah agama untuk orang yang jahil. Bagaimanapun, keterbatasan keupayaan akal dan kebebasan manusia untuk menggunakannya menyebabkan ia perlu diberi panduan, tunjuk ajar dan bimbingan supaya akal tersebut dapat berfungsi dengan baik sejajar dengan tujuan asal ia diciptakan oleh Allah S.W.T.. Sejarah sumber ilmu menurut Islam adalah berdasarkan firman Allah S.W.T.:
zN¯=tæur tPy#uä uä!$oÿôF{$# $yg¯=ä. §NèO öNåkyÎztä n?tã Ïps3Í´¯»n=yJø9$# tA$s)sù ÎTqä«Î6/Rr& Ïä!$yJór'Î/ ÏäIwàs¯»yd bÎ) öNçFZä. tûüÏ%Ï»|¹ ÇÌÊÈ (#qä9$s% y7oY»ysö6ß w zNù=Ïæ !$uZs9 wÎ) $tB !$oYtFôJ¯=tã ( y7¨RÎ) |MRr& ãLìÎ=yèø9$# ÞOÅ3ptø:$#
Dan Dia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada Malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar". Malaikat itu menjawab: "Maha suci Engkau (ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; Sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".
Surah al-Baqarah (2): 31-32
Ibn Kathir menjelaskan dalam tafsirnya, Allah S.W.T. telah menegaskan dan mengingatkan bahawa Nabi Adam a.s. lebih mulia daripada Malaikat berdasarkan ilmu yang Baginda miliki. Tidak seorangpun yang dapat mengetahui sesuatu ilmu kecuali dengan izin serta berdasarkan apa yang telah diajarkan oleh Allah S.W.T. Manakala Ibn Khaldun dalam kitabnya al-Mukaddimah menyatakan manusia juga berbeza daripada binatang dan makhluk-makhluk yang lain berdasarkan ilmu pengetahuan yang dimiliki. Melalui idrak iaitu sifat ingin tahu, manusia berkeupayaan menyedari dan berfikir tentang sesuatu yang berlaku di sekeliling mereka untuk membolehkan mereka mendapat nafkah hidup, bekerjasama mencapai suatu matlamat dan mempelajari tentang Pencipta yang wajib disembah melalui wahyu-wahyu yang diterima oleh para RasulNya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian
Umat Islam seharusnya, sentiasa menyegarkan dan meningkatkan taraf pengetahuan mereka tentang Islam kerana pemilikan ilmu pada dasarnya adalah berkaitan dengan peranan dan tanggungjawab mereka di muka bumi sebagai hamba dan khalifah Allah SWT. Malah, ayat pertama yang diturunkan kepada utusan yang terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w. juga berkaitan dengan ilmu, bukan sekadar ilmu tetapi ilmu yang berpaksikan tauhid. Firman Allah:
bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah, Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam, Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (surah al-’alaq : 1-5)
Istilah ‘bacalah’ adalah berkaitan langsung dengan cara mendapatkan ilmu iaitu merujuk kepada tulisan, buku dan sebagainya. Namun pencarian sebarang ilmu perlu berpaksikan atas nama ‘al-Khaliq’ yang menciptakan segala sesuatu baik sama ada yang sudah kita ketahui ataupun belum kita ketahui.
Sidang hadirin yang dirahmati Allah sekelian,
Apabila kita berbicara tentang ilmu, tidak dapat tidak kita perlu berbicara tentang tujuan hidup kerana ilmu adalah untuk memelihara kehidupan manusia. Oleh kerana kehidupan manusia sentiasa dikaitkan dengan elemen tauhid, maka ilmu juga mestilah berpaksikan tauhid. Justeru, Islam menekankan kepada konsep penguasaan ilmu secara bersepadu dan menyeluruh. Pembahagian ilmu kepada fardhu ’ain dan fardhu kifayah adalah selari dengan tugas dan tanggungjawab manusia sebagai hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi ini. Ilmu-ilmu fardhu ain seperti akidah, syariah, akhlak dan sebagainya adalah asas untuk melahirkan seorang hamba yang taat dan baik kepada Allah SWT, manakala ilmu-ilmu fardhu kifayah seperti sains, matematik, perubatan, kejuruteraan dan sebagainya adalah bagi melengkapkan diri manusia untuk memimpin dan memakmurkan bumi selari dengan perintahNya. Firman Allah:
اٍنما يخشى الله من عباده العلمؤا
Maksudnya, “sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang Yang berilmu”
Surah al-Fatir (35):28
Lanjutan itu, dalam usaha kita mengejar pembangunan dan kemajuan diri, keluarga, masyarakat dan negara, kerja keras semata-mata masih belum mencukupi jika kemampuan akal tidak digunakan sepenuhnya untuk bekerja dengan lebih berkesan dan teratur, malah berkemungkinan kita akan kekal dalam kehidupan yang susah seperti sedia kala. Justeru, pembangunan ekonomi memerlukan ilmu, manakala ilmu ekonomi adalah sebahagian daripada keseluruhan kesepaduan ilmu agama. Pemisahan ilmu ekonomi daripada agama adalah tidak mungkin, sama seperti tidak mungkin memisahkan manusia daripada rohnya. Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin mengatakan adalah wajib bagi setiap orang yang bekerja tanpa mengira apa sahaja jenis pekerjaan mereka mempunyai ilmu berdasarkan hadith nabi :
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud menuntut ilmu adalah fardhu bagi setiap kaum Muslimin. (Ibn Majah)
Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekelian
Seruan supaya kita menuntut ilmu, menyediakan pendidikan yang secukupnya untuk anak-anak dan membudayakan majlis ilmu tidak hanya kerana tuntutan globalisasi atau k-economy yang banyak dikaitkan dengan realiti perekonomian masa kini, tetapi ia adalah kerana sememangnya Islam menjunjung tinggi nilai ilmu. Dalam ertikata lain, mereka yang terlibat perlu kepada mengetahui asas dan hukum-hakam berkaitan perlaksanaannya. Begitu juga, segala usaha manusia sama ada yang bersifat mental mahupun amali dikira sebagai ibadat jika operasinya berlandaskan prinsip dan garis panduan yang diwahyukan oleh Allah S.W.T.. Ini kerana, sebagai umat Islam, kita bekerja bukan sekadar untuk mendapatkan keuntungan semata-mata, malah yang lebih penting adalah sebagai merealisasikan taklif atau tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah S.W.T. yang akan dinilai kembali di akhirat kelak.
Beberapa waktu terakhir ini, umat Islam umumnya termasuklah masyarakat Melayu kelihatan terperangkap dengan masalah jati diri yang serius. Situasi ini berlaku akibat tiada keseimbangan antara tuntutan dan kemahiran fizikal, mental dan spiritual, nilai kebendaan mengatasi kerohanian serta ilmu yang tidak dipandu oleh prinsip wahyu. Ibubapa lebih mementingkan subjek sains, matematik dan bahasa inggeris dalam pendidikan anak-anak mereka berbanding pendidikan Islam. Subjek pendidikan Islam hanya dianggap sebagai bebanan dan gangguan dalam sesi pembelajaran anak-anak mereka untuk mencatat keputusan yang cemerlang. Malah, yang lebih malang lagi, ada ibubapa yang sanggup pergi berjumpa dengan pengusaha tadika dan meminta supaya anak-anak mereka hanya diajarkan subjek sains, bahasa Inggeris dan matematik. Subjek agama tidak tidak perlu diajar kerana anak mereka yang masih kecil, dengan alasan takut memenatkan mereka.
Sidang jumaat yang dimuliakan
Pembangunan satu dimensi yang lebih mementingkan aspek fizikal atau kebendaan sahaja akan melahirkan manusia yang tidak seimbang, lebih cenderung bersifat tamak, tidak pedulikan nasib orang lain, kurang daya tahan dalam menghadapi cabaran hidup, egoistik serta individualistik tanpa memikirkan kepentingan orang lain atau masyarakat sekelilingnya. Ini kerana, falsafah kebendaan diasaskan kepada kepercayaan terhadap keagungan, kemampuan dan kewibawaan manusia semata-mata tanpa memerlukan kepada panduan Allah S.W.T. sehingga pertumbuhan ekonomi dianggap sebagai asas utama kepada penyelesaian masalah manusia. Sebenarnya, pendekatan susunan masyarakat berdasarkan sifat mementingkan diri dan kebendaan ini, akan lebih menimbulkan banyak permasalahan dalam masyarakat. Justeru tidak hairanlah jika kita sering juga terbaca dalam akhbar dan sebagainya pelbagai kisah jenayah yang melibatkan golongan yang dianggap sebagai cerdik pandai. Selain jenayah rasuah dan penyelewengan yang berlaku dalam segenap masyarakat, terdapat juga kisah ibubapa yang terpaksa mendapatkan perintah mahkamah supaya anaknya yang mendapat pendidikan sehingga Phd memberi nafkah kepada mereka dan yang terbaru seorang bapa terpaksa menyaman tiga anak kandungnya yang dikatakan telah mengurung dan memaksa beliau supaya menyerahkan dua lot tanah kepada mereka.
Menurut Syeikh Ameer Syakib Arsalan dalam kitabnya Limadha Ta'akhar al-Muslimun Wa Limadha Taqaddam Ghayruhum mengatakan krisis dan tragedi yang menimpa umat Islam masa kini bukan kerana kelemahan sistem Islam, tetapi disebabkan kaum Muslimin telah meninggalkan ajaran Islam dan menggantikannya dengan sistem-sistem manusiawi dari Barat atau Timur. Walaupun tingkahlaku mereka tetap menyatakan diri mereka sebagai Muslim, namun tingkahlaku mereka jauh menyimpang daripada ajaran Islam.
Justeru, adalah tidak adil dan tidak rasional jika mengharapkan sebahagian daripada sistem Islam itu akan berkesan mengatasi masalah yang dihadapi jika falsafah dan pemikiran asing dibiarkan meracuni pemikiran masyarakat manakala sistem Islam hanya untuk menampal kekurangan-kekurangan yang terdapat dalam sistem asing tersebut. Mengamalkan sebahagian daripada sistem Islam tetapi meninggalkan sebahagian yang lain merupakan satu sikap yang terkeluar daripada karekter Islam sebagai al-din yang tidak membenarkan berlakunya sebarang pembahagian dalam ajarannya. Dalam hal ini, Syed Muhammad Naquib al-Attas (1993) Islam and Secularism mengatakan, jika timbul perasaan bahawa Islam tidak cukup dan tidak relevan terhadap situasi-situasi yang berubah ketika ini, ia bukan disebabkan oleh Syariat Islam tidak cukup atau tidak relevan, tetapi ia berlaku disebabkan oleh (nisyan) kealpaan dan kejahilan yang dapat diubati melalui belajar dan ingat mengingati.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekelian
Setiap umat Islam yang mencari keperluan hidup seharusnya mengetahui Syariat dan undang-undang yang mengawal tanpa mengira jenis pekerjaan yang dilakukan oleh mereka. Keperluan untuk memahami kaedah-kaedah Syariat dalam muamalat adalah berdasarkan kepada Hadith Nabi s.a.w.:
من يرد الله خيرا يفقه فى الدين
“Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah untuk berada dalam kebaikan, maka Allah S.W.T. akan memahamkannya (ilmu-ilmu) agama”.
Para ulama dan pakar dalam bidang fiqh telah berbincang secara panjang lebar mengenai perkara tersebut. Mereka telah membuat kesimpulan bahawa pengetahuan terhadap asas-asas fiqh muamalat dalam kadar yang membolehkan seseorang untuk melakukan urusan muamalat yang telah biasa berlaku sesuai dengan syariat Allah S.W.T. hukumnya adalah wajib. Manakala mempelajari secara mendalam dan khusus dalam bidang muamalat harta benda hukumnya adalah fardhu kifayah.
Menurut Sayyid Qutb dalam tafsirnya, Fi Zilali al-Qur’an, kitab al-Qur’an sebagai mukjizat agama yang terakhir tetap mempunyai kesanggupan untuk memenuhi keinginan dan keperluan hidup manusia dengan sempurna untuk membawa mereka ke alam yang lebih baik dan kepada nasib kesudahan hidup yang amat tinggi. Generasi-generasi yang akan datang akan menemui rahsia-rahsia pengajaran yang lebih banyak dari apa yang didapati oleh generasi sekarang kerana al-Qur’an memberi manfaat kepada setiap generasi yang mencari rahsia-rahsianya mengikut kadar keperluan mereka. Simpanan perbendaraan rahsia al-Qur’an akan kekal tidak habis-habis, malah ia sentiasa membaharu mengikut keperluan semasa. Justeru, manusia bebas bertingkahlaku dan membuat pilihan berdasarkan ilmu, daya taakulan, iman atau idealisme yang diyakininya dengan dibantu pertimbangan emosi dan motivasi selagi ia tidak terkeluar daripada lingkungan nilai-nilai qat’i yang ditetapkan oleh Allah. Pematuhan dalam seluruh dimensi kehidupan berdasarkan ketetapan Khaliq adalah wajib kerana keupayaan akal dan anggota pancaindera sebagai sumber ilmu adalah terbatas. Oleh itu, ilmu wahyu berfungsi sebagai ilmu utama dan ilmu penentu kepada ilmu akal dan pemikiran manusia yang sentiasa dipengaruhi oleh emosi dan persekitaran semasa dan tempat. Sebagaimana yang sepatutnya juga, ilmu pengetahuan, hikmah serta kebijaksanaan yang kita miliki seharusnya dinisbahkan kepada pemiliknya yang sebenar iaitu Allah yang Maha Mengetahui.
ولقد ءاتينا داود وسليمان علما ۖ وقال الحمد لله الذى فضلنا على كثير من عباده المؤمنين
Maksudnya, “dan Sesungguhnya Kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur Dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah Yang Dengan limpah kurniaNya memberi Kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya Yang beriman".
Surah al-Naml (27): 15
بارك الله لي ولكم فى القران العظيم¸ونفعني وايا كم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم, وتقبل مني ومنكم تلاوته انه هو السميع العليم, أقول قولى هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات, فاستغفروه فيا فوز المستغفرين ويانجاة التائبين