Wednesday, November 4, 2009

Psikologi : Siapa Lebih Mendahului?

Seperti yang dimaklumi, definisi sesuatu terminologi atau bidang banyak dipengaruhi oleh zaman, latar belakang bidang kepakaran dan objek yang menjadi pokok perbincangannya. Dalam erti kata lain, adalah sukar untuk memberikan definisi psikologi secara komprensif dan disepakati oleh semua pihak.

Berdasarkan perspektif Barat, pada peringkat permulaan psikologi lebih mengkaji mengenai soul sepertimana yang digambarkan oleh Norman L. Munn "Psychology: The Fundamentals Human Adjustment" yang mengatakan "Psychology' berasal daripada dua perkataan Greek iaitu psyche (soul) dan logos (discourse)".

Kemudian tokoh-tokoh dari kalangan ahli falsafah mendefinisikan istilah 'psyche' kepada 'minda'. Contohnya, William James yang mengatakan " Psychology is the science of mental life, both of its phenomena and of their conditions. The phenomena are such things as we call feelings, desires, cognitions, reasoning, decisions etc...."Berubah tafsiran turut membawa kepada perubahan definisi. Maka definisi psikologi berubah daripada disiplin yang mengkaji jiwa manusia kepada satu kajian mengenai minda pula.

Dalam peringkat psikologi moden, timbul pula aliran behaviourisme yang diasaskan oleh John B Watson sekitar 1900 an.Menurutnya, psikolgi sepatutnya mengkaji dan meneliti hal-hal yang berkaitan dengan tingkahlaku manusia. Hujahnya, tingkahlaku boleh diperhatikan secara empirikal berbanding soul dan mind. Selari dengan perkembangan ilmu pengetahuan Barat, disiplin psikologi diiktiraf sebagai salah satu daripada bidang sains. Secara tidak langsung, kajian psikologi juga hendaklah berasaskan data-data empirikal yang menjadi ciri utama sains moden. Perubahan pendekatan ini sekali lagi turut mengubah definisi psikologi daripada soul, mind kepada 'satu kajian saintifik mengenai tingkahlaku manusia' ataupun berunsur fizikal. Definisi ini kekal sehingga kini berdasarkan orientasi ilmiah yang lebih bersifat saintifik.Justeru, berdasarkan tahap-tahap perkembangan ini, Islam lebih mendepani disiplin ini daripada Barat malah pendekatannya adalah lebih holistik selari dengan fitrah kejadian manusia yang perlu sedar dari mana dia datang, kenapa dia datang dan ke mana dia akan pergi selepas ini.

Dalam tasawwur Islam, banyak ayat-ayat al-Qur'an telah menjelaskan fitrah kejadian manusia itu sendiri adalah berasal daripada dua unsur iaitu ruh dan jasad. Antaranya, firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu Dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah; Kemudian ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, Iaitu dari air (benih) Yang sedikit dipandang orang . Kkemudian ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. dan ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur". (surah al-Sajdah : 7-9)

Unsur jasad (tubuh manusia) yang boleh berkembang adalah unsur yang boleh diperhatikan secara empirikal.Manakala unsur roh tidak boleh dilihat malalui pancaindera, namun ia tetap wujud dan berfungsi dalam diri manusia antaranya berfikir, ilmu, keinginan, cinta, marah dan sebgainya. Setiap unsur tersebut mempunyai sifat keinginan dan fungsinya yang tersendiri. Contohnya, unsur tubuh memerlukan memerlukan kepada keinginan makan, minum, seksual dan sebagainya manakala unsur roh pula mempunyai keinginan tertentu seperti keinginan kepada akhlak mulia, berilmu, mendapatkan keredhaan Allah S.W.T. dan sebagainya. Dalam pemenuhan keinginan dan keperluan tersebut manusia perlu membentuk tiga pola perhubungan iaitu hubungan dengan dirinya sendiri, hubungan dengan Allah S.W.T. dan hubungan dengan alam.Perlaksanaan ketiga-tiga pola tersebut pula menghasilkan kerohanian Islam.

Unsur-unsur inilah juga yang menjadi sebahagian objek kajian dalam psikologi moden. Namun, perbezaan yang ketara ialah mereka hanya melihat pada unsur-unsur luaran sahaja.Teori-teori Barat cuma menghuraikan aspek-aspek kecil tingkahlaku tertentu sahaja yang sudah tentunya tidak berupaya memberikan jawapan yang tepat terhadap pertanyaan asas seperti apa yang menggerakkan tangan manusia atau apakah prinsip yang menggerakkan dalam kehidupan ini?. Unsur keterasingan (alienation) yang wujud adalah hasil daripada pola kehidupan moden yang materialistik dan hidonestik. Begitu juga, penggunaan kaedah eksperimental dan kajian terhadap tingkahlaku haiwan sebagai mekanisme memahami tingkahlaku manusia telah membataskan kajian mereka terhadap persoalan kejiwaan ini memandangkan ia merupakan persoalan yang tidak dapat dikaji sepertimana tingkahlaku luaran. Walaupun sarjana Barat banyak membuat andaian tentang sifat dan tabiat semulajadi manusia di samping amat berminat kepada perilaku manusia, tetapi mereka tidak pernah membicarakan tentang hakikat keinsanan yang merangkumi asal-usul manusia, tujuan dilahirkan ke dunia, kesudahan hidup dan peranannya di atas dunia.

Elemen-elemen kerohanian ini adalah sangat penting kerana ia dapat membezakan personaliti manusia dengan haiwan. Islam menetapkan, keperluan asasi manusia tidak hanya merangkumi keperluan jasmani, keperluan kepada keselamatan, keperluan sosial, penghormatan kendiri dan pencapaian kendiri sahaja, tetapi manusia juga perlu kepada keimanan yang pada hakikatnya menjadi tonggak kehidupan dan mempengaruhi seluruh tingkahlaku mereka.

Justeru, hujah mengatakan sarjana Barat lebih mendahului dalam disiplin psikologi adalah tidak tepat. Takrifan asal psychology jelas mempunyai matlamat yang sehala dengan kerohanian Islam yang telah wujud selari dengan kewujudan manusia untuk membicarakan aspek-aspek kerohanian dalam diri manusia berdasarkan pemerhatian terhadap tingkahlaku luaran. Namun, cakupan kerohanian Islam lebih holistik dan jauh matlamatnya kerana melibatkan skala waktu yang panjang.

Monday, November 2, 2009

Benarkah Begitu?


Banner ini dipasang di sekitar daerah Kajang sempena hari raya aidil fitri tempoh hari.

Adakah benar sepertimana dakwaan mereka ini bahawa "Islam Melayu, Melayu Islam". Bagaimana dengan dakwaan Mufti Perak bahawa hampir 250 000 orang Melayu telah murtad suatu ketika dahulu atau bagaimana dengan dakwaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhammad dalam ucapannya bertajuk ‘Penerapan Nilai-Nilai Islam’ pernah menyatakan bahawa sebenarnya sudah ada orang Melayu yang menolak Islam dan meninggalkan agama Islam dan kita tidak boleh menyalahkan dakyah agama lain sahaja, bahkan umat Islam sedikit sebanyak turut bersalah.

Bukankah Islam adalah rahmat untuk sekelian alam. Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud "Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah di antara kamu ialah yang paling bertaqwa kepada Allah” (Surah al-Hujarat:13)

Malah Rasulullah s.a.w. sendiri telah mengingatkan bahawa orang Islam itu adalah seperti gigi sikat dari segi taraf bangsanya, malah tidak ada kelebihan hatta kepada orang Arab sekalipun. Baginda juga telah mengingatkan bahawa bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang menyeru kearah assobiyyah.

Justeru, mengatakan orang Melayu mesti Islam adalah betul berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara 160 (2), tetapi untuk mengatakan bahawa Islam itu Melayu adalah amat tidak tepat sekali. Jika tingkahlaku Melayu pada hari dijadikan asas kepada cerminan ajaran Islam yang sebenar, ia adalah seperti pepatah Melayu "Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga".

Oleh itu, sebelum melakukan sesuatu perkara, tepuk dada tanya iman, bukannya tepuk dada ikut emosi. Perjuangan kita tidak akan ke mana walaupun hebat di medan.

Saturday, October 31, 2009

Tawakkal atau Tawakul?

Menurut Sayyid Qutb, Bertawakkal kepada Allah S.W.T. tidak menghalang seseorang daripada beriktiktiar (menggunakan sebab-sebab). Berikhtiar juga termasuk di dalam bab beriman dan mentaati perintah Allah S.W.T., namun orang Mukmin tidak menganggap ia sebagai faktor yang melahirkan natijah sepenuhnya kerana faktor yang melahirkan natijah dan ikhtiar tersebut adalah di bawah perencanaanNya. Justeru, menggunakan ikhtiar (sebab) adalah ibadat kerana mentaati perintah Allah S.W.T. dan merealisasikan natijah adalah hasil perencanaan dari Allah S.W.T. yang bebas daripada sebarang ikhtiar (sebab) dan tiada siapa yang dapat menguasainya kecuali Allah S.W.T.

Justeru, Islam tidak mengiktiraf konsep al-tawakul (التواكل) iaitu kebergantungan tetapi mengiktiraf tawakkal التوكل)) iaitu berserah kepada Allah S.W.T. setelah berusaha bersungguh-sungguh, di mana usaha sebagai sebab untuk berjaya. Pada suatu hari, datang seorang Badwi mengadu kepada Rasulullah s.a.w.bahawa untanya telah hilang. Kemudian baginda bertanya kepadanya, adakah beliau telah mengikat unta tersebut. Badwi tersebut menjawab tidak kerana beliau telah bertawakkal sepenuhnya kepada Allah S.W.T. Kemudian baginda bersabda:
”اعقلها وتوكل”
Ikatlah terlebih dahulu, kemudian bertawakkal
(Riwayat al-Tirmidhi, Ibn Hibban, al-Bayhaqi)

Dalam ertikata lain, walaupun syarak memuji orang-orang yang bertawakkal, tetapi kesan tawakkal tersebut seharusnya nampak pada gerak usaha melalui ilmu dan ikhtiarnya membuat perancangan bukan hanya dengan berpeluk tubuh menunggu takdir. Menurut Imam al-Ghazali, orang yang mencari keperluannya selain dari Allah S.W.T., maka orang itu telah meninggalkan tawakkal. Mereka adalah manusia yang syirik dalam tauhid dan jahil dengan hakikat segala sesuatu. Firman Allah S.W.T. :

”فاٍذا ركبوا فى الفلك دعوالله مخلصين له الدين فلما نجىهم اٍلى البر اٍذا هم يشركون”,
Apabila mereka menaiki kapal, mereka berdoa kepada Allah dengan seikhlas hatinya, tetapi setelah mereka diselamatkan oleh Allah ke daratan, tiba-tiba mereka mempersekutukan (Allah dengan yang lain), di mana ada yang mengatakan bahawa "jika tidak kerana lurus anginnya, nescaya kita tidak selamat".
Surah al-'Ankabut (29): 65

Persoalannya, siapakah yang menggerakkan angin tersebut? Justeru, beliau membuat analogi seperti adalah sesuatu yang sia-sia jika mengharapkan Allah S.W.T. menjadikan tumbuh-tumbuhan tanpa bercucuk tanam atau mengharapkan isteri melahirkan anak tanpa bersetubuh sepertimana Maryam a.s. melahirkan Nabi ‘Isa a. s.

Justeru, perancangan tidak bererti menolak takdir ataupun kurang berkeyakinan dengan qada’ dan qadar Allah S.W.T.. Menurut Imam Ahmad bin Hanbal, semua manusia dituntut supaya bertawakkal kepada Allah S.W.T. serta berusaha. Oleh itu, seharusnya setiap individu tidak bergantung kepada manusia lain.

Manusia Tidak Perlu Berikhtiar Atas Nasibnya?

Adakalanya, kita mendengar masyarakat kita sering menyebut, "Aku memang telah ditakdirkan sebagai susah, atau malas atau bodoh dan sebagainya...maka berusaha pun tiada gunanya". Lebih baik pasrah sahaja dengan qada dan qadar Allah.

Memang benar rezeki, kematian, amalan serta nasib baik dan buruk manusia telah ditentukan oleh Allah S.W.T. seperti sabda Nabi s.a.w. :

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ

”Bahawasanya seseorang dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya sebagai nutfah (air mani), kemudian menjadi ‘alaqah (segumpal darah) selama 40 hari, kemudian menjadi mudghah (segumpal daging) selama 40 hari pula, kemudian diutuskan oleh Allah akan Malaikat, maka ditiupkan kepadanya roh, dan disuruh tulis empat perkara tentang rezekinya, ajalnya, amalnya dan nasib buruk baiknya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut Sayyid Qutb (1992) dalam Tafsir Fi Zilali al-Qur’an, walaupun rezeki telah ditentukan, tetapi Allah S.W.T. telah menetapkan bahawa penghasilannya adalah berdasarkan usaha manusia. Oleh kerana manusia tidak tahu dari segi jenis, kualiti, kuantiti, kesusahan atau kesenangan yang akan diperolehinya, maka mereka perlu berusaha untuk mendapatkannya.

Dalam hal ini, Ahmad ‘Umar Hashim (1977), Manhaj al-Islam fi al’Aqidah wa al-Ibadah wa al-Akhlak mengatakan, beriktikad bahawa Allah S.W.T. mengetahui setiap perbuatan dan setiap peristiwa yang berlaku ke atas hamba adalah satu aras parameter keimanan kepada qada’ dan qadar Allah S.W.T., ianya telah tercatat di Luh Mahfuz sebagai takdir semua makhluk. Namun, ilmu Allah S.W.T. tidak boleh dijadikan hujah untuk manusia meninggalkan usaha atau melakukan sebarang amalan baik. Qada’ dan qadar bukan bermakna manusia menunggu apa sahaja ketentuan Allah S.W.T. ke atasnya dirinya. Iktikad yang sedemikian akan menghilangkan kebebasan berikhtiar pada manusia yang telah diiktiraf oleh al-Qur’an (rujuk surah al-Mudathir (74):55, al-Insan (76):29,’Abasa (80):12, al-Kahf (18):29, al-Muzammil (73):19, al-Najm (53): 39, al-Shura (42): 30). Manakala Muhammad Sa’ id Ramadan al-Buti menjelaskan dalam Hurriyah al-Insan fi Zill ‘Ubudiyyatih li Allah mengatakan qada’ dan qadar merupakan satu pemberitahuan bahawa segala usaha hamba adalah terjadi bertepatan dengan ilmu Allah S.W.T.. Andainya Allah S.W.T. tidak mengetahui segala tingkahlaku hamba yang terhasil, maka sudah tentu ia tidak selari dengan sifatnya yang Maha Mengetahui, sedangkan Allah S.W.T. Maha Suci daripada segala sifat kekurangan.

Lanjutan itu, manusia tidak dipertanggungjawabkan terhadap segala perbuatan yang bersifat idtirari kerana ia terjadi tanpa diusahakan. Tetapi, dalam konteks perbuatan yang bersifat ikhtiyari, manusia bebas untuk berikhtiar kerana tingkahlakunya mengandungi dengan tuntutan pertanggungjawaban dan pembalasan. Apabila manusia tiada kebebasan memilih dan melakukan pada perkara di dalam ikhtiarnya, maka tiadalah taklif dan tanggungan ke atas tiap-tiap seseorang. Manakala tanpa taklif dan tanggungan menyebabkan manusia tidak perlu bertanggungjawab dan menanggung segala perbuatan yang telah dilakukannya.