
Banner ini dipasang di sekitar daerah Kajang sempena hari raya aidil fitri tempoh hari.
Adakah benar sepertimana dakwaan mereka ini bahawa "Islam Melayu, Melayu Islam". Bagaimana dengan dakwaan Mufti Perak bahawa hampir 250 000 orang Melayu telah murtad suatu ketika dahulu atau bagaimana dengan dakwaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhammad dalam ucapannya bertajuk ‘Penerapan Nilai-Nilai Islam’ pernah menyatakan bahawa sebenarnya sudah ada orang Melayu yang menolak Islam dan meninggalkan agama Islam dan kita tidak boleh menyalahkan dakyah agama lain sahaja, bahkan umat Islam sedikit sebanyak turut bersalah.
Bukankah Islam adalah rahmat untuk sekelian alam. Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud "Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah di antara kamu ialah yang paling bertaqwa kepada Allah” (Surah al-Hujarat:13)
Malah Rasulullah s.a.w. sendiri telah mengingatkan bahawa orang Islam itu adalah seperti gigi sikat dari segi taraf bangsanya, malah tidak ada kelebihan hatta kepada orang Arab sekalipun. Baginda juga telah mengingatkan bahawa bukanlah dari kalangan kami sesiapa yang menyeru kearah assobiyyah.
Justeru, mengatakan orang Melayu mesti Islam adalah betul berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Perkara 160 (2), tetapi untuk mengatakan bahawa Islam itu Melayu adalah amat tidak tepat sekali. Jika tingkahlaku Melayu pada hari dijadikan asas kepada cerminan ajaran Islam yang sebenar, ia adalah seperti pepatah Melayu "Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga".
Oleh itu, sebelum melakukan sesuatu perkara, tepuk dada tanya iman, bukannya tepuk dada ikut emosi. Perjuangan kita tidak akan ke mana walaupun hebat di medan.
No comments:
Post a Comment