Menurut Sayyid Qutb, Bertawakkal kepada Allah S.W.T. tidak menghalang seseorang daripada beriktiktiar (menggunakan sebab-sebab). Berikhtiar juga termasuk di dalam bab beriman dan mentaati perintah Allah S.W.T., namun orang Mukmin tidak menganggap ia sebagai faktor yang melahirkan natijah sepenuhnya kerana faktor yang melahirkan natijah dan ikhtiar tersebut adalah di bawah perencanaanNya. Justeru, menggunakan ikhtiar (sebab) adalah ibadat kerana mentaati perintah Allah S.W.T. dan merealisasikan natijah adalah hasil perencanaan dari Allah S.W.T. yang bebas daripada sebarang ikhtiar (sebab) dan tiada siapa yang dapat menguasainya kecuali Allah S.W.T.
Justeru, Islam tidak mengiktiraf konsep al-tawakul (التواكل) iaitu kebergantungan tetapi mengiktiraf tawakkal التوكل)) iaitu berserah kepada Allah S.W.T. setelah berusaha bersungguh-sungguh, di mana usaha sebagai sebab untuk berjaya. Pada suatu hari, datang seorang Badwi mengadu kepada Rasulullah s.a.w.bahawa untanya telah hilang. Kemudian baginda bertanya kepadanya, adakah beliau telah mengikat unta tersebut. Badwi tersebut menjawab tidak kerana beliau telah bertawakkal sepenuhnya kepada Allah S.W.T. Kemudian baginda bersabda:
”اعقلها وتوكل”
“Ikatlah terlebih dahulu, kemudian bertawakkal”
(Riwayat al-Tirmidhi, Ibn Hibban, al-Bayhaqi)
Dalam ertikata lain, walaupun syarak memuji orang-orang yang bertawakkal, tetapi kesan tawakkal tersebut seharusnya nampak pada gerak usaha melalui ilmu dan ikhtiarnya membuat perancangan bukan hanya dengan berpeluk tubuh menunggu takdir. Menurut Imam al-Ghazali, orang yang mencari keperluannya selain dari Allah S.W.T., maka orang itu telah meninggalkan tawakkal. Mereka adalah manusia yang syirik dalam tauhid dan jahil dengan hakikat segala sesuatu. Firman Allah S.W.T. :
”فاٍذا ركبوا فى الفلك دعوالله مخلصين له الدين فلما نجىهم اٍلى البر اٍذا هم يشركون”,
Apabila mereka menaiki kapal, mereka berdoa kepada Allah dengan seikhlas hatinya, tetapi setelah mereka diselamatkan oleh Allah ke daratan, tiba-tiba mereka mempersekutukan (Allah dengan yang lain), di mana ada yang mengatakan bahawa "jika tidak kerana lurus anginnya, nescaya kita tidak selamat".
Surah al-'Ankabut (29): 65
Persoalannya, siapakah yang menggerakkan angin tersebut? Justeru, beliau membuat analogi seperti adalah sesuatu yang sia-sia jika mengharapkan Allah S.W.T. menjadikan tumbuh-tumbuhan tanpa bercucuk tanam atau mengharapkan isteri melahirkan anak tanpa bersetubuh sepertimana Maryam a.s. melahirkan Nabi ‘Isa a. s.
Justeru, perancangan tidak bererti menolak takdir ataupun kurang berkeyakinan dengan qada’ dan qadar Allah S.W.T.. Menurut Imam Ahmad bin Hanbal, semua manusia dituntut supaya bertawakkal kepada Allah S.W.T. serta berusaha. Oleh itu, seharusnya setiap individu tidak bergantung kepada manusia lain.
No comments:
Post a Comment