Saturday, October 31, 2009

Manusia Tidak Perlu Berikhtiar Atas Nasibnya?

Adakalanya, kita mendengar masyarakat kita sering menyebut, "Aku memang telah ditakdirkan sebagai susah, atau malas atau bodoh dan sebagainya...maka berusaha pun tiada gunanya". Lebih baik pasrah sahaja dengan qada dan qadar Allah.

Memang benar rezeki, kematian, amalan serta nasib baik dan buruk manusia telah ditentukan oleh Allah S.W.T. seperti sabda Nabi s.a.w. :

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَكُونُ فِي ذَلِكَ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يُرْسَلُ الْمَلَكُ فَيَنْفُخُ فِيهِ الرُّوحَ وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ بِكَتْبِ رِزْقِهِ وَأَجَلِهِ وَعَمَلِهِ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ

”Bahawasanya seseorang dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya sebagai nutfah (air mani), kemudian menjadi ‘alaqah (segumpal darah) selama 40 hari, kemudian menjadi mudghah (segumpal daging) selama 40 hari pula, kemudian diutuskan oleh Allah akan Malaikat, maka ditiupkan kepadanya roh, dan disuruh tulis empat perkara tentang rezekinya, ajalnya, amalnya dan nasib buruk baiknya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut Sayyid Qutb (1992) dalam Tafsir Fi Zilali al-Qur’an, walaupun rezeki telah ditentukan, tetapi Allah S.W.T. telah menetapkan bahawa penghasilannya adalah berdasarkan usaha manusia. Oleh kerana manusia tidak tahu dari segi jenis, kualiti, kuantiti, kesusahan atau kesenangan yang akan diperolehinya, maka mereka perlu berusaha untuk mendapatkannya.

Dalam hal ini, Ahmad ‘Umar Hashim (1977), Manhaj al-Islam fi al’Aqidah wa al-Ibadah wa al-Akhlak mengatakan, beriktikad bahawa Allah S.W.T. mengetahui setiap perbuatan dan setiap peristiwa yang berlaku ke atas hamba adalah satu aras parameter keimanan kepada qada’ dan qadar Allah S.W.T., ianya telah tercatat di Luh Mahfuz sebagai takdir semua makhluk. Namun, ilmu Allah S.W.T. tidak boleh dijadikan hujah untuk manusia meninggalkan usaha atau melakukan sebarang amalan baik. Qada’ dan qadar bukan bermakna manusia menunggu apa sahaja ketentuan Allah S.W.T. ke atasnya dirinya. Iktikad yang sedemikian akan menghilangkan kebebasan berikhtiar pada manusia yang telah diiktiraf oleh al-Qur’an (rujuk surah al-Mudathir (74):55, al-Insan (76):29,’Abasa (80):12, al-Kahf (18):29, al-Muzammil (73):19, al-Najm (53): 39, al-Shura (42): 30). Manakala Muhammad Sa’ id Ramadan al-Buti menjelaskan dalam Hurriyah al-Insan fi Zill ‘Ubudiyyatih li Allah mengatakan qada’ dan qadar merupakan satu pemberitahuan bahawa segala usaha hamba adalah terjadi bertepatan dengan ilmu Allah S.W.T.. Andainya Allah S.W.T. tidak mengetahui segala tingkahlaku hamba yang terhasil, maka sudah tentu ia tidak selari dengan sifatnya yang Maha Mengetahui, sedangkan Allah S.W.T. Maha Suci daripada segala sifat kekurangan.

Lanjutan itu, manusia tidak dipertanggungjawabkan terhadap segala perbuatan yang bersifat idtirari kerana ia terjadi tanpa diusahakan. Tetapi, dalam konteks perbuatan yang bersifat ikhtiyari, manusia bebas untuk berikhtiar kerana tingkahlakunya mengandungi dengan tuntutan pertanggungjawaban dan pembalasan. Apabila manusia tiada kebebasan memilih dan melakukan pada perkara di dalam ikhtiarnya, maka tiadalah taklif dan tanggungan ke atas tiap-tiap seseorang. Manakala tanpa taklif dan tanggungan menyebabkan manusia tidak perlu bertanggungjawab dan menanggung segala perbuatan yang telah dilakukannya.

No comments:

Post a Comment