Friday, May 27, 2011

Khutbah Jumaat Minggu ini: Peliharalah Diri dan Keluarga

Sidang jumaat yang dimuliakan,
Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benar takwa iaitu dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala laranganNya. Dengan demikian, mudah-mudahan kita akan dikurniakan Allah SWT kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Sidang jumaat yang berbahagia
Saban hari pelbagai media di negara kita, sama ada media elektronik atau media massa akan menyiarkan pelbagai kemungkaran yang berlaku dikalangan masyarakat disekeliling kita khususnya aktiviti-aktiviti mungkar yang melibatkan masyarakat yang beragama Islam, seperti khalwat, zina, sumbang mahram, rogol, pembunuhan, rasuah, pecah amanah, penyelewengan kuasa, fitnah dan sebagainya. Malah ada yang tanpa segan silu lagi sanggup memohon laknat daripada Allah SWT yang tidak terperi azabnya daripada meminta rahmat dan nikmatNya yang tidak terhitung banyaknya. Seolah-olah mereka sudah tidak lagi mengenal batas sempadan antara halal dan haram, pahala dan dosa, azab dan rahmat serta syurga dan neraka.

Sidang jumaat yang dimuliakan,
Kemungkaran ini akan terus berlaku dari masa ke semasa selagi ia tidak dicegah dan dirawat. Persoalannya, siapakah yang patut mencegah pelbagai kemungkaran yang berlaku ini dan bagaimana pula caranya. Untuk menjawab persoalan tersebut, mimbar pada hari ini mengajak para hadirin yang dirahmati Allah SWT sekelian, supaya marilah bersama-sama kita memahami dan menghayati firman Allah SWT:
        ••              
Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka, yang bahan-bahan bakarannya, terdiri daripada manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras dan kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”. (Surah Al-Tahrim : 6)

Hadirin yang dirahmati Allah sekelian
Peringatan Allah SWT dalam ayat ini adalah lanjutan daripada ayat-ayat sebelumnya. Allah SWT telah beransur-ansur mengingatkan kita, bermula daripada peringatan kepada dua orang isteri nabi, kepada semua isteri, kepada semua wanita, semua orang beriman, dan kepada semua lelaki dan wanita, termasuk orang kafir.
Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT memerintahkan orang-orang yang beriman agar menjaga diri dan keluarganya daripada api neraka Allah SWT. Maksud ahli dalam ayat yang telah dibacakan tersebut adalah isteri, anak, hamba lelaki dan hamba perempuan. Jika perluaskan skopnya dalam konteks semasa ia termasuk juga pembantu rumah dan para pekerja di bawah jagaan kita.

Perkara ini hanya dapat dielakkan dengan roh yang lahir daripada keluarga yang beriman sahaja. Oleh itu, umat Islam haruslah mengelakkan diri dan ahli keluarga mereka daripada pelbagai kemungkaran yang dilakukan. Begitu juga, setiap makanan yang diberikan kepada anak-anak hendaklah makanan daripada sumber yang halal serta menjauhkan diri daripada sumber yang syubhah, apatah lagi dengan sumber yang haram seperti rasuah, riba, penipuan dan sebagainya. Rezeki yang halal bukan sahaja membawa keberkatan tetapi ia juga dapat melahirkan zuriat yang sihat dan pintar. Dan akhirnya ia akan mendorong seseorang ke arah melakukan kebaikan di dunia dan mendapat rahmat Allah di akhirat.

Diriwayatkan ketika ayat ini diturunkan, Saidina Umar al-Khattab telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: Kami sudah memelihara diri kami daripada azab neraka, lalu bagaimana pula cara kami memelihara keluarga kami daripadanya. Rasulullah s.a.w bersabda: ”Kamu larangkan mereka daripada melakukan apa yang telah Allah larangkan kepada kamu, dan kamu suruh mereka melakukan apa yang Allah telah suruh kepada kamu, itulah cara menghindar mereka daripada neraka”.

Dalam Hadith yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda:
عن ابن عمر رضى الله عنهما أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: الآ كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته: فالأمير الذي على الناس راع عليهم وهو مسئول عنهم ,الرجل راع على أهل بيته وهو مسئول عنهم والمرأة راعية على بيت بعلها وولده وهى مسئولة عنهم والعبد راع على مال سيده وهو مسئول عنه فكلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته (رواه البخارى ومسلم وأبوداود وأحمد)

Daripada Ibn Umar رضى الله عنهما bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: ”Ketahuilah! Kalian semua adalah pemimpin dan akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang pemimpin yang memimpin manusia dia adalah pemimpin dan akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang suami (bapa) adalah pemimpin dalam keluarganya dan akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang isteri (ibu) dia juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya dan dia akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang budak (hamba) pun menjadi pemimpin atas harta tuannya dan dia juga akan ditanyakan tentang pertanggungjawabannya. Semuanya adalah pemimpin dan semuanya akan diminta bertanggungjawab atas kepimpinannya
(Hadith riwayat Imam al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)

Saudara Muslimin sekelian,
Berdasarkan hadith tersebut, sebagai seorang mukallaf, setiap orang daripada kita tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab-tanggungjawab ini sama ada dalam urusan dunia ataupun akhirat, daripada sekecil-kecil urusan sehinggalah sebesar-besar urusan. Pemerintah dan pemimpin sama ada di peringkat kampung, daerah, negeri, negara atau jabatan akan disoal tentang pemerintahan dan kepimpinan mereka, para peniaga akan disoal tentang perniagaan mereka. Para pekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta, akan disoal adakah dia menunaikan kerja dengan betul sebagaimana yang telah dipersetujui dalam kontrak, adakah berlakunya penyelewengan atau pecah amanah dengan memilik peribadikan harta majikan.

Orang lelaki yang menjadi pemimpin di dalam keluarga, selain akan disoal tentang nafkah zahir dan batin, dia juga bertanggungjawab dalam memberikan pendidikan yang seimbang, membentuk keluarga yang taat perintah Allah SWT, menyuruh mereka menutup aurat, mendirikan sembahyang dan mengerjakan ibadat-ibadat wajib lain serta melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Orang perempuan akan dipersoal sama ada ia menjaga harta benda, maruah diri, maruah suami serta maruah keluarganya sama ada di rumah, di tempat pengajian, di tempat kerja ataupun di mana-mana sahaja.

Anak-anak akan disoal sama ada dia berbakti atau tidak kepada kedua orang tuanya, jika dia menerima harta pusaka, adakah ia melalui cara yang betul atau tidak, bagaimana ia menggunakan harta benda peninggalan orang tuanya, adakah ia digunakan di jalan yang halal atau haram.

Begitu juga, sebagai pelajar kita akan ditanya, ilmu apakah kita tuntut, bagaimana ia diperolehi dan untuk apakah ia diperolehi. Janganlah sekali-kali kita menipu dalam mendapatkan ilmu atau peperiksaan kerana hasil kelulusan inilah yang akan digunakan untuk mendapatkan kerja pada masa hadapan, seterusnya menyara anak dan isteri suatu hari nanti.

Seiring dengan ayat dan hadith yang telah dibacakan tadi, Allah SWT juga berfirman dalam ayat yang lain:
               
dan perintahkanlah keluargamu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar dalam menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa” (surah Ta’ ha : 132)

Begitu juga dengan sabda Nabi s.a.w.:
عن ابن مسعود رضىالله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: استحيوا من الله حق الحياء, قال: قلنا: يا رسول الله, اٍنا نستحيى- والحمدلله-قال: ليس ذاك, ولكن الاٍستحياء من الله حق الحياء : أن تحفظ الرأس وما وعى, والبطن وم حوى, والتذكرالموت والبلى, ومن أراد الآخرة ترك زينة الدنيا, فمن فعل ذلك فقد استحيا من الله حق الحياء (رواه أحمد والترمذي)
Daripada Ibn Mas’ud r.a. beliau berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hendaklah kalian berasa malu kepada Allah SWT dengan sebenar-benar malu”. Kami pun berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya kami malu kepada Allah”. Baginda bersabda: “bukan begitu, tetapi perasaan malu kepada Allah yang sebenarnya itu adalah kamu memelihara kepalamu dan apa yang ada di dalamnya, perutmu dan apa yang terkandung di dalamnya, dan hendaklah kamu ingat akan kematian dan kehancuran, Barang siapa menginginkan akhirat, dia akan meninggalkan kemewahan dunia, maka barang siapa yang melakukan hal itu, maka sungguh dia telah berasa malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu” (Hadith riwayat Ahmad & al-Tirmidhi)

Sidang jumaat yang dimuliakan,
Sama ada kita sedar atau tidak, masyarakat kita dalam pelbagai peringkat lebih besar peratusannya untuk mengambil tahu hal aib orang lain daripada menjalankan apa yang terdahulu diperintah oleh Allah dan para rasulnya. Mereka lebih teruja untuk membicarakan keaiban orang lain dari memperbetulkan keadaan keluarga yang masih tunggang-langgang dalam mencari keredhaan Allah.

Berdasarkan huraian daripada ayat al-Qur’an yang telah dibacakan tadi, jelas tanggungjawab kita masih lagi belum sempurna jika kita hanya berusaha mencari keaiban dan membetulkan kemungkaran orang lain sedangkan diri dan keluarga sendiri diabaikan dan tidak dibimbing supaya taat kepada Allah.

Seharusnya, kita tidak perlu sibuk dengan kesalahan atau keaiban orang lain, atau melaung-laungkan untuk menentang penyalahgunaan kuasa dan rasuah, atau ingin menentang pelbagai kemungkaran yang berlaku, jika tingkahlaku kita dan ahli keluarga kita sendiri pun, masih lagi menyimpang daripada jalan yang telah ditetapkan oleh Syariat.

Seharusnya kewajipan mendidik kepada kaum kerabat diutamakan terlebih dahulu jika kita tidak mahu dianggap seperti menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri.

Sabda nabi s.a.w.:
عن أنس بن مالك رضى الله عنه قال: قال النبي صلى الله عليه وسلم: ألمؤمن من أمنه, والمسلم من سلم المسلمون من لسانه ويده, والمها جر من هجر السوء, والذي نفسي بيده, لا يدخل الجنة عبد لا يأمن جاره بوائقه (رواه أحمد)
Daripada Anas bin Malik r.a. beliau berkata: ”Nabi s.a.w. bersabda: ”seseorang mukmin adalah orang yang selalu membuat orang lain menjadi aman, dan seorang Muslim adalah orang yang umat Islam lainnya terselamat daripada gangguan lidah dan tangannya, manakala seseorang yang berhijrah adalah orang yang berhijrah (meninggalkan) kejahatan, Demi zat yang jiwaku ada ditanganNya, tidak akan masuk syurga seseorang individu yang tetangganya tidak berasa aman daripada gangguannya”.(Hadith riwayat Imam Ahmad)
Sidang Jumaat yang dimuliakan

Islam mendorong umatnya supaya menjadi pandai dan berkualiti dalam segenap perkara melalui mempelajari ilmu yang benar, agar ia dapat pula diajarkan kepada orang lain sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah saw, para Sahabat, Tabiin dan Tabiut Tabiin yang sering kali di contohi oleh seluruh umat Islam. Keperluan untuk memahami kaedah-kaedah Syariat dalam seluruh kehidupan manusia adalah berdasarkan kepada Hadith Nabi s.a.w.:

من يرد الله خيرا يفقه فى الدين
Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah untuk berada dalam kebaikan, maka Allah S.W.T. akan memahamkannya (ilmu-ilmu) agama”.

Justeru, jika kita mahu kebaikan dan perubahan berlaku disekeliling kita, maka ubahlah diri kita terlebih dahulu, kemudian keluarga kita, kemudian kaum kerabat kita, kemudian masyarakat sekeliling dan keseluruhannya. Jika semuanya berubah, InsyaAllah para pemimpin yang menyeleweng juga akan turut berubah malah seluruh masyarakat dan alam ini akan menjadi makmur kerana seluruh penghuninya telah berubah dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup mereka.

              ••  •     •   •                    
Sesungguhnya bandingan kehidupan di dunia ini hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu, hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan ketika penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya), maka datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikannya hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya) (surah Yunus: 24)

بارك الله لي ولكم فى القران العظيم¸ونفعني وايا كم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم, وتقبل مني ومنكم تلاوته انه هو السميع العليم, أقول قولى هذا وأستغفر الله العظيم لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات, فاستغفروه فيا فوز المستغفرين ويانجاة التائبين

No comments:

Post a Comment